Inbox Our Email: koperasi agrobelantik@gmail.com

Perosak Peringkat Awal Tanaman Padi

Pada peringkat awal tanaman padi (40 hari pertama), perosak yang wujud terdiri daripada larva kupu-kupu. Larva ini memakan daun dan kemudiannya memotong, melipat atau menggulung daun sebelum menjadi kepompong. Menurut Dr. K.L Heong, seorang penyelidik dan pakar entomologi dari IRRI, perosak peringkat awal seperti ulat lipat daun bukannya perosak yang membimbangkan. Ini kerana pokok padi mampu untuk pulih kembali daripada kecederaan akibat serangan larva serangga ini. Topik ini pernah dibincangkan sebelum ini: Menyembur racun meningkatkan hasil? Syor yang dibuat oleh pakar dari IRRI ini agak kontroversi kerana beliau tidak membenarkan sebarang kawalan menggunakan racun perosak pada peringkat 40 hari pertama tanaman padi. Tetapi, beberapa kajian yang dijalankan di seluruh dunia bersetuju dengan kenyataan ini. Ulat-ulat ini sebenarnya bukanlah perosak utama tanaman padi. Akibat daripada penggunaan racun perosak yang berleluasa, terutama sekali racun yang membunuh secara spektrum meluas telah mengakibatkan kehilangan biodiversiti musuh semulajadi kepada perosak. Akibatnya, ulat-ulat yang menyerang pada peringkat awal tanaman padi ini menjadi perosak.

Ulat ratus

Larva ulat ratus
Ulat ratus (Inggeris: Armyworm), Spodoptera mauritia merupakan sejenis ulat daripada keluarga kupu-kupu Noctuidae yang merupakan perosak kepada tanaman padi dan rumput turf. Ulat ini merosakkan tanaman padi dengan memakan daun padi sehingga rosak teruk. Ulat ratus mudah merebak dalam sawah padi dan banyak didapati di kawasan tanaman padi Asia dan Australia.

Kupu-kupu ulat ratus (dewasa)
Kupu-kupu dewasa mempunyai warna kelabu kehitaman dan mempunyai bintik-bintik berwarna hitam pada sayapnya. Kupu-kupu dewasa mempunyai telur yang berwarna putih dan berbentuk bulat yang melekat pada daun padi akan menetas dan seterusnya menghasilkan larva yang berukuran 38 mm panjang. Larva kupu-kupu ini berwarna kelabu dan coklat kehitaman. Larva akan membentuk kepompong berukuran 13 mm panjang sebelum menetas menjadi kupu-kupu dewasa dan bertelur semula di atas daun padi. Ulat ini akan memakan daun padi sehingga musnah terutama pada musim kering atau kemarau.

Ulat layar

Kupu-kupu ulat layar (dewasa)
Ulat layar (Inggeris: Caseworm), Nymphula depunctalis terdapat di kawasan sawah padi di Malaysia, Filipina dan Thailand. Ulat ini menyerang tanaman padi yang mempunyai sistem pengairan kurang sempurna. Kupu-kupu dewasa lazimnya mempunyai warna putih dengan tompok hitam dan garisan putus-putus berwarna perang pada kepak. Kupu-kupu dewasa akan bertelur pada daun padi dan telurnya berbentuk oval dengan warna kekuningan. Telur akan menetas dalam tempoh 2 hingga 6 hari sahaja sebelum menjadi larva yang akan memakan daun dengan cara mengerat dan merosakkannya.

Kesan serangan ulat layar
Larva ulat layar berwarna hijau lutsinar dengan bahagian kepala berwarna kekuningan dan lazimnya tinggal dalam bekas potongan daun yang diserang. Tempoh peringkat larva antara 13-20 hari sebelum menjadi kepompong. Kepompong akan terbentuk dalam potongan daun yang dilipat di pangkal pokok padi selama 7 hari. Larva akan makan bahagian hijau daun. Serangan ulat ini meninggalkan kesan lapisan putih berjalur atau bertompok pada rumpun padi serta daun padi akan dikerat-kerat (gambar kiri).



Ulat gulung daun

Kupu-kupu ulat gulung daun (dewasa)
Ulat gulung daun (Inggeris: leafroller), Cnaphalocrosis medinalis adalah sejenis ulat daripada keluarga kupu-kupu Crambidae yang dikenali merosakkan tanaman padi dan jagung terutama sekali di Asia Tenggara, India, Sri Lanka dan Australia. Kupu-kupu dewasa mempunyai warna kelabu keputihan atau perang dengan jalur hitam merentangi sayapnya. Telur kupu-kupu dewasa berwarna putih yang menetas dalam tempoh 4-8 hari. Larvanya mempunyai 4-6 instar berukuran 16-25 mm dan hidup selama 22-23 hari. Larva akan menyerang padi daripada peringkat awal pertumbuhan sehingga padi berbuah dengan menggulung daun dan mencantumkannya dibahagian hujung.

Larva ulat gulung daun
Larva akan memakan bahagian hijau daun sehingga meninggalkan bahagian kutikel daun. Tanda serangan apabila dilihat terdapat jalur-jalur berwarna cerah yang bertompok-tompok pada daun. Larva akan menjadi kepompong dalam masa 6-7 hari yang berwarna perang berukuran 9-12 mm sebelum keluar menjadi kupu-kupu dewasa. Kitaran hayat kupu-kupu ini adalah selama 5 minggu.




Kawalan

JANGAN GUNA RACUN PEROSAK. Tempoh 30-40 hari pertama bagi tanaman padi adalah tempoh bagi musuh-musuh semulajadi perosak tanaman padi untuk bertapak. Menggunakan racun perosak pada peringkat awal hanya akan memudaratkan tanaman padi kerana populasi musuh semulajadi akan mengecil menyebabkan perosak akan membiak dengan pesat. Jika populasi ulat-ulat ini terlalu banyak, cuba gunakan beberapa kaedah kawalan seperti mana yang pernah ditulis sebelum ini: Kawalan Perosak Peringkat Awal dan Kawalan Perosak Peringkat Awal (bahagian 2). Kawalan air penting kerana perosak seperti ulat layar berada pada pangkal pokok. Jika serangan berlaku, naikkan paras air. Selain itu, petani perlu mengelakkan penggunaan baja nitrogen terutama sekali urea secara berlebihan. Amalan IPM perlu dipatuhi dengan baik. Penggunaan racun perosak hanya sebagai pilihan terakhir.

Adalah penting bagi kita untuk melaksanakan usaha-usaha tambahan untuk melindungi biodiversiti flora dan fauna dalam ekosistem padi kepada perkhidmatan ekosistem selamat dan meningkatkan pengurusan perosak dengan alam semulajadi. Memperkayakan habitat bukan padi dengan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan adalah asas untuk memulihkan perkhidmatan pengawalseliaan perosak. Tanaman berbunga dapat menarik serangga yang bermanfaat kepada ekosistem pertanian. Aplikasi profilaktik bahan kimia daripada racun adalah tidak bijak kerana ia akan mengatasi dan menghalang semua cubaan untuk mengembalikan biodiversiti. Bacaan lanjut: Pemuliharaan ekosistem pertanian untuk keselamatan pengguna dan alam sekitar dalam tanaman padi

0 comments:

Popular Posts