Inbox Our Email: koperasi agrobelantik@gmail.com

Varieti-varieti padi di Malaysia (bahagian 3)

Sambungan daripada bahagian 2

32. MR 219
Tahun diisytiharkan: 2001
Tempoh matang: 105-112 hari

Padi MR 219 dihasilkan melalui projek Pembentukan Varieti Untuk Sistem Tanaman Tabur Terus yang dimulakan pada awal tahun 1988. Berbeza dengan varieti-varieti yang terdahulu, varieti ini dihasilkan melalui sistem tanaman tabur terus di semua peringkat pemilihan dan penilaian kecuali di peringkat pembiakan generasi F1 dan pembiakan biji benih. Oleh itu varieti ini memenuhi sebahagian besar ciri-ciri yang diperlukan untuk pengeluaran hasil yang tinggi di bawah sistem tanaman tabur terus.

Dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 137 dan baka MR 151 yang dilakukan pada Luar Musim 1991. Baka MR 137 mempunyai ciri-ciri bentuk pokok yang baik, umur matang yang singkat, saiz dan rupa bentuk biji serta cita rasa nasi yang sangat baik. Baka MR 151 pula mempunyai kebaikan pada ciri-ciri masa yang seragam pada tangkai dan ciri senesen daun. Dari segi kerintangan terhadap musuh dan penyakit, MR 137 rintang terhadap benah perang, MR 151 rintang terhadap penyakit merah dan kedua-duanya adalah rintang terhadap karah dan hawar daun bakteria. Varieti MR 219 didapati mewarisi sebahagian besar ciri-ciri yang baik terdapat baka-baka induk ini.

Kandungan amilosa MR 219 adalah rendah sekitar 21.4%. Ini menyebabkan cit rasa nasinya lembut. Baka MR 219 adalah baka yang berdaun lebat. Pembajaan awal (peringkat permulaan) tidak perlu melebihi kadar subsidi yang disumbangkan oleh kerajaan.

MR 219 merupakan varieti padi yang terbaik pernah dihasilkan dan ditanam selama 20 musim meliputi 90% kawasan bertanam padi. MR 219 diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 9 Januari 2001 di Teluk Malek, Jitra, Kedah.

33. MR 220
Tahun diisytiharkan: 2003
Tempoh matang: 105-113 hari

Varieti MR 220 dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 151 dan MR 137. Penanaman generasi kedua (F2) hingga generasi kelapan (F8) dilakukan secara tabur terus dan pemilihan dilakukan berasaskan ciri tangkai sahaja. Pemilihan untuk mendapatkan bentuk pokok yang baik dilakukan pada tiga generasi selanjutnya dan ketika proses penulenan. Varieti ini diuji dalam Percubaan Hasil Awal pada Musim Luar 1996 hingga Musim Utama 1996/97. Ia kemudiannya diteruskan ke Percubaan Hasil Lanjutan selama tiga musim (Musim Luar 1997 hingga Musim Utama 1998/99) dan seterusnya Percubaan Penyesuaian Baka pada Musim Utama 1999/2000. Ia diuji dalam percubaan ini selama empat musim di 16 lokasi yang berbeza di kawasan utama tanaman padi Semenanjung Malaysia dengan frekuensi ujian sebanyak 34 kali. Setelah menunjukkan prestasi yang baik, Percubaan Penentusahan Setempat (LVI) dijalankan.

Varieti MR 220 mempunyai umur matang yang sama dengan varieti MR 219 iaitu sekitar 105 hingga 113 hari bergantung pada musim dan sistem penanaman yang diamalkan. Varieti ini matang lebih kurang 10 hari lebih awal berbanding varieti MR 84.Bentuk pokok MR 220 tidak banyak berbeza daripada varieti MR 219 dengan varieti MR 219 dengan ketinggian batang antara 76 cm hingga 80 cm. Ia mempunyai daun yang lebat di bahagian pangkal pokok dan daunnya lebar sedikit dengan varieti MR 219. Daun pengasuhnya tegak tetapi boleh melentok sekiranya terlebih baja atau ditanam di kawasan yang terlalu subur. Tangkai MR 220 adalah sama panjang (23 cm) dengan MR 219 tetapi jauh lebih panjang daripada varieti MR 84 (19.8 cm). Walau bagaimanapun bilangan biji setangkai bagi MR 220 adalah rendah sedikit daripada MR 219 tetapi lebih banyak daripada MR 84. Perbezaan yang ketara antara MR 220 dengan MR 219 dapat dilihat pada ciri-ciri bijinya. Biji MR 220 lebih besar, panjang, lebar dan berat daripada MR 219 dan juga MR 84. Berbentuk panjang dan bujur, beras MR 220 dikategorikan dalam gred panjang.

Varieti MR 220 mempunyai tahap kerintangan yang sangat baik terhadap tiga perosak utama padi iaitu penyakit karah dan hawar daun bakteria dan sederhana rintang terhadap penyakit merah virus. Tahap kerintangan ini setanding dengan varieti MR 219. Walau bagaimanapun, ia hanya sederhana rentan terhadap hawar seludang seperti MR 219 dan MR 84. Untuk hawar seludang, kawalan perlu dilakukan melalui kaedah kimia dan amalan agronomi yang baik.

Berbanding dengan MR 219, MR 220 mempunyai peratus perolehan beras (76%) dan perolehan beras kepala (83%) yang lebih baik walaupun perbezaannya hanyalah sekitar 4% dan 2% sahaja. Biji beras MR 220 adalah yang terpanjang (purata 6.95 mm) berbanding dengan MR 219 (6.91 mm) dan MR 84 (6.07 mm). Walaupun begitu, lebih berasnya adalah lebih rendah daripada kedua-dua varieti MR 219 dan MR 84. Ini memberi gambaran bahawa bentuk biji beras MR 220 lebih tirus (slender) berbanding dengan MR 219 ataupun MR 84. Kelembutan nasi MR 220 adalah setaraf dengan MR 219 memandangkan kandungan amilosa yang hampir sama bagi kedua-dua varieti ini iaitu sekitar 20% hingga 22% berbanding dengan MR 84 yang mempunyai citarasa nasi yang keras (28% amilosa). Nilai kekonsistenan gel dan juga pepecahan alkali juga memastikan varieti MR 220 dan MR 219 mempunyai citarasa nasi yang lembut, jauh lebih baik daripada MR 84.

MR 220 juga merupakan varieti terbaik setanding dengan MR 219 dan ditanam selama 15 musim bersama-sama MR 219. Sehingga Musim Utama 2009/10 dianggarkan 97% kawasan bertanam padi menggunakan varieti MR 219 dan MR 220.
Penggunaan varieti MR 219 dan MR 220 di Malaysia. Sumber: MARDI
Petunjuk: MS (Musim Utama), OS (Luar Musim)

34. MRQ 74
Tahun diisytiharkan: 2005
Tempoh matang: 125 hari

MRQ 74 dihasilkan melalui penyelidikan yang telah dilakukan sejak 13 tahun adalah jenis padi yang menghasilkan beras bermutu tinggi setanding dengan kualiti beras wangi siam. MRQ 74 adalah hasil kacukan padi jenis Q 34 dengan jenis Khaw Dok Mali dari Thailand pada 1991 dan dikacukkan sekali dengan jenis Kasturi dari India pada 1994 bagi menghasilkan sifat wangi, seroi dan berkualiti tinggi. Padi MRQ 74 dikatakan dapat mengeluarkan hasil purata empat hingga lima tan sehektar di luar kawasan jelapang dan sesuai ditanam secara organik.

Antara ciri-ciri padi berkenaan ialah pokoknya yang rendah iaitu 60 ke 70 sentimeter dengan tempoh matang 125 hari selepas benih ditabur manakala purata bilangan padi bernas setangkai ialah 65 hingga 85 biji. Beras yang dihasilkan oleh MRQ 74 berbau wangi dan peroi bila dimasak selain tahan terhadap penyakit karah, hawar bakteria dan bena perang.

MRQ 74 atau dikenali sebagai Maswangi diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 5 Februari 2005 di Stesen Mardi Seberang Perai, Kepala Batas, Pulau Pinang

35. MR 232
Tahun diisytiharkan: 2006
Tempoh matang: 103-113 hari

Varieti MR 232 adalah yang terbaharu ditemui mempunyai beberapa keistimewaan antaranya mutu beras dan cita rasa nasi yang sangat baik, kerintangan terhadap penyakit karah dan umur matang yang singkat. Penanaman MR 232 memerlukan kemahiran pengurusan yang tinggi kerana ia amat sensitif kepada persekitaran. Ia tidak memerlukan kadar pembajaan yang tinggi seperti MR 219 atau MR 220. Ia amat sesuai untuk pengeluaran beras khusus mengikut varieti.

Pembiakan MR 232 bermula pada musim luar 1994 dengan kacukan antara varieti W 60, iaitu varieti beramilos rendah dari Thailand dengan Y 1157, satu baka tempatan yang mempunyai sifat morfologi pokok yang baik serta rintang terhadap penyakit dan perosak utama tanaman padi. Pemilihan dilakukan berasaskan ciri-ciri tangkai dari generasi kedua (f2) hingga generasi kelima melalui sistem tanaman secara tabur terus. Pemilihan pokok individu dilakukan semasa generasi ke 6 hingga ke 8. Proses pemilihan ini telah menghasilkan titisan RU 6261-21-1-1 yang diuji dalam Percubaan Hasil Awal yang dikenali dengan kod SPD 85 dan akhirnya memasuki Percubaan Hasil Lanjutan dan ia diberi kod baru Y 1333. Selepas itu baka ini dinilai dalam Percubaan Penyesuaian Baka dan Percubaan Penetusahan Setempat menggunakan kod MR 232. Memandangkan varieti ini mempunyai tindak balas terhadap pembajaan yang berbeza, maka pakej pengurusan yang khusus untuk varieti ini dibangunkan.

MR 232 dikategorikan sebagai varieti yang matang awal. Ia mempunyai bentuk pokok yang tegak dan rendah berbanding dengan MR 219. Batangnya kuat dan tahan rebah. Seperti MR 219, ia dapat menghasilkan anak sekitar 450-500 pada setiap meter persegi. Tangkainya lebih panjang daripada MR 219 menghampiri 26 cm. Kepadatan biji pada tangkai adalah lebih jarang jika dibandingkan dengan MR 219 dan ini meningkatkan peratus padi beruas. Varieti ini mempunyai bentuk biji padi yang menarik dengan perbezaan panjang yang ketara jika dibandingkan dengan MR 219 tetapi bijinya lebar atau sama dengan MR 219. Berat seribu biji MR 232 (28.9 gm), adalah lebih berat daripada MR 219 dan diklasifikasikan sebagai gred panjang dan ini membolehkannya mendapat harga yang premium di pasaran.

36. MR 220 CL1
Tahun diisytiharkan: 2010
Tempoh matang: 105-118 hari

37. MR 220 CL2
Tahun diisytiharkan: 2010
Tempoh matang: 97-113 hari

38. MR 253
Tahun diisytiharkan: 2010
Tempoh matang: 100-104 hari

MR 253 diklasifikasikan sebagai varieti matang awal. Ia matang dalam tempoh 100–104 hari selepas tabur, bergantung pada musim tanaman. MR 253 matang 5–8 hari lebih awal daripada MR 219. Bentuk pokok adalah tegak dan padat dengan daun pengasuh yang tegak dan pendek. Pokok MR 253 adalah rendah, tegap dan tahan rebah, dengan ketinggian batangnya 69–74 cm, iaitu 14 cm lebih rendah daripada MR 219. MR 253 mempunyai panjang tangkai yang hampir sama iaitu 23.8 cm berbanding dengan panjang tangkai MR 219 (24.5 cm). Biji padi tersusun dengan lebih padat di atas tangkai MR 253 dan mengandungi lebih banyak biji padi setangkai berbanding dengan MR 219.

Berdasarkan ujian saringan penyakit karah, MR 253 dikenal pasti rintang terhadap penyakit karah daun. Namun begitu, varieti ini sederhana rintang terhadap karah tangkai. Tahap kerintangan MR 253 terhadap 13 patotip kulat Pyricularia oryzae yang menyebabkan penyakit karah adalah setanding dengan varieti MR 232, tetapi jauh lebih baik jika dibandingkan dengan varieti MR 211 dan MR 219. MR 253 juga sederhana rintang kepada benah perang, penyakit hawar daun bakteria dan penyakit merah virus, tetapi rentan terhadap penyakit hawar seludang. Meskipun tahap kerintangan MR 253 terhadap serangan bena perang tidak sebaik Rathu Heenati, namun begitu tahap kerintangannya jauh lebih baik berbanding dengan varieti MR 219. Tindak balas 9 patotip Xanthomonas oryzae Malaysia (MXO) terhadap varieti MR 253 dan varieti-varieti popular semasa yang Berdasarkan ujian saringan penyakit karah, MR 253 dikenal pasti terpilih menunjukkan peratusan panjang bintik kerosakan pada varieti MR 253 adalah jauh lebih baik daripada varieti MR 84 dan setanding dengan varieti MR 219. Saringan ketahanan terhadap penyakit bintik perang yang telah dilakukan di kawasan tanah Organic Clay Muck (OCM) pula mendapati varieti MR 253 adalah yang terbaik dari segi ketahanannya. MR 253 juga sesuai digunakan sebagai baka penderma rintang karah.

39. MR 263
Tahun diisytiharkan: 2010
Tempoh matang: 97-104 hari

Varieti MR 263 dihasilkan melalui kacukan dua baka mutan SPM 156 dan MR 221. SPM 156 adalah baka yang dimajukan hasil dari mutasi aruhan varieti tradisional Kurau Wangi sementara MR 221 pula adalah baka hasil dari mutasi aruhan baka berkualiti Q 31. Kacukan antara SPM 156 dan MR 221 dilakukan pada Musim Utama 2001/2002 bertujuan meningkatkan hasil dan kerintangan terhadap perosak utama tanaman padi.

MR 263 mempunyai umur matang sekitar 97 hingga 104 hari selepas tabur, iaitu sekitar 7 hari lebih awal dari MR 219. MR 263 mempunyai ketinggian pokok yang jauh lebih rendah dari MR 219 iaitu sekitar 59 hingga 71 cm berbanding 71 hingga 84 bagi MR 219. Perbandingan ciri antara varieti MR 263 dan MR 219 adalah seperti pada Jadual 1 Pokok MR 263 yang rendah biasanya lebih tahan kepada rebah. Walaupun begitu, daun pengasuhnya agak panjang tetapi tegak dan melentur sedikit jika terlalu panjang. Panjang tangkainya adalah setanding dengan MR 219. Bilangan bijinya hanya rendah sedikit dari MR 219. Walau pun bentuk biji padi MR 263 boleh di kategorikan sebagai bujur tetapi tidaklah sebujur MR 219 (nisbah panjang lebar 3.39 berbanding 4.12 bagi MR 219). Ini adalah kerana bijinya yang lebih pendek dan lebih lebar berbanding MR 219. Berat bijinya juga lebih rendah dari MR 219.

MR 263 mempunyai kerintangan yang lebih baik berbanding MR 219 terhadap penyakit karah daun walaupun kedua-duanya dalam kategori kerintangan sederhana rintang. Namun demikian MR 263 dan MR 219 adalah dalam kategori rentan terhadap penyakit karah tangkai. Kerintangan MR 263 dan MR 219 dengan perosak-perosak yang lain seperti hawar daun bakteria, penyakit merah dan bena perang, adalah hampir sama. Bagaimana pun MR 263 adalah lebih rentan berbanding dengan MR 219 bagi penyakit hawar seludang.

Peratus perolehan beras selepas dikilang adalah lebih baik berbanding MR 219. Perolehan beras kepala bagi varieti MR 263 adalah 10% lebih baik dari MR 219 mungkin disebabkan oleh berasnya yang lebih pendek dan lebih lebar. Namun demikian, beras MR 263 masih dikategorikan sebagai beras panjang kerana panjang berasnya melebihi piawai 6.21 mm panjang. Nisbah panjang dan lebar beras pula menunjukkan MR 219 adalah lebih baik bentuknya berbanding MR 263. Kandungan amilos bagi varieti MR 263 adalah 2% rendah dari MR 219. Ini menunjukkan bahawa nasi MR 263 dan MR 219 masih dalam kategori yang sama dari segi kelembutan dan kelekitan apabila dimakan.

Varieti MR 253 dan MR 263 dilancarkan serentak oleh YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 27 November 2010 sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2010 (MAHA 2010)

40. MRQ 76
Tahun diisytiharkan: 2012
Tempoh matang: 117 hari

Pembangunan padi wangi Varieti MRQ 76 adalah hasil kacukan antara titisan Q 72 dan baka Cuicak wangi. Titisan Q 72 merupakan inbred daripada induk yang mempunyai sumber wangi serta mempunyai morfologi pokok yang tegak dan ciri-ciri lebih baik yang diperlukan terutama ketahanan terhadap penyakit karah. Baka Cuicak wangi pula ditanam oleh petani di Cuicak tetapi rintang terhadap penyakit karah. Kacukan antara kedua-duanya dijalankan pada Musim Utama 2000/2001 yang bertujuan meningkatkan hasil, tekstur nasi dan aroma serta kerintangan terhadap penyakit karah tangkai. Baka berpotensi ini seterusnya dinilai prestasinya dalam percubaan penyesuaian multilokasi (MLT) atau pelbagai lokasi dan seterusnya ke ujian penentusahan setempat (LVT) dan upscaling (meningkatkan skala).

Potensi hasil boleh mencapai enam metrik tan sehektar. Perolehan mengilang baik dengan peratus kepala beras yang tinggi. Beras tidak berkapur dan jernih. Panjang beras adalah lingkungan 6.5 mm dan dikelaskan gred panjang. MRQ 76 mempunyai pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak. Ia matang sekitar 117 hari selepas tabur. Pokok MRQ 76 dengan ketinggian batang sekitar 78 cm, hampir sama dengan ketinggian MR219. Varieti ini sesuai untuk ditanam di luar skim pengairan dan tanah marginal tadahan hujan. MRQ 76 adalah sederhana rintang kepada karah. Varieti MRQ 76 juga sederhana rintang kepada serangan bena perang dan hawar daun bakteria selain hawar seludang dan penyakit merah virus. Tekstur nasinya serupa dengan varieti Jasmin, lembut, melekit dan berketul-ketul.

MRQ 76 dilancarkan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar di Tapak Ekspo MAEPS, Serdang pada September 2012. Sumber: Utusan Malaysia

41. MR 269
Tahun diisytiharkan: 2012
Tempoh matang: 104-109 hari

Padi MR 269 dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 November 2012 sempena MAHA 2012

0 comments:

Popular Posts