Inbox Our Email: koperasi agrobelantik@gmail.com

Varieti-varieti padi di Malaysia (bahagian 1)

PADI (Oryza sativa) merupakan tanaman penting di kebanyakan negara Asia. Tanaman padi juga merupakan tanaman strategik bagi keselamatan makanan untuk negara-negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji termasuklah Malaysia. Disebabkan itu, tanaman padi dilindungi oleh negara melalui Dasar Pertanian Negara 1, 2, 3 dan kini Dasar Agromakanan Negara (DAN). Perlindungan ini termasuk mengekalkan kawasan jelapang utama penanaman padi, memberi subsidi dalam bentuk input pertanian dan kewangan, menetapkan harga lantai padi, mengawalselia dan menguatkuasakan akta bagi padi, menyediakan stockpile bagi kegunaan ketika kecemasan dan menjalankan R&D bagi penghasilan varieti-varieti padi baharu.

Penghasilan varieti baharu padi diletakkan di bawah tanggungjawab MARDI. Sehingga tahun 2013, MARDI telah mengisytiharkan 41 varieti padi untuk digunakan oleh petani. Varieti-varieti padi ini dihasilkan melalui program pembiakan padi sehingga terhasilnya jenis-jenis padi yang kita temui pada hari ini. Varieti-varieti ini disimpan di dalam Bank Gen Padi yang menjadi sumber genetik untuk digunakan dalam penjanaan padi moden yang diperlukan pada masa ini dan akan datang.

41 varieti padi yang pernah dikeluarkan oleh MARDI

1. Malinja
Tahun diisytiharkan: 1964
Tempoh matang: 137-147 hari

Trivia: Filem Masam-Masam Manis lakonan Tan Sri P. Ramlee mengingatkan kita mengenai kata-kata terakhir beliau "Kahwin Lima Tahun Anak Sepuluh, Kembar Tak Berhenti' macam padi Malinja.

2. Mahsuri
Tahun diisytiharkan: 1965
Tempoh matang: 134-138 hari

3. Ria
Tahun diisytiharkan: 1966
Tempoh matang: 125-127 hari

4. Bahagia
Tahun diisytiharkan: 1968
Tempoh matang: 137-145 hari


5. Murni
Tahun diisytiharkan: 1972
Tempoh matang: 135-140 hari

6. Masria
Tahun diisytiharkan: 1972
Tempoh matang: 123-126 hari

7. Jaya
Tahun diisytiharkan: 1973
Tempoh matang: 123-127 hari


8. Sri Malaysia 1
Tahun diisytiharkan: 1974
Tempoh matang: 135-145 hari

9. Sri Malaysia 2
Tahun diisytiharkan: 1974
Tempoh matang: 128-130 hari

10. Pulut Malaysia 1
Tahun diisytiharkan: 1974
Tempoh matang: 135-145 hari

11. Setanjung (MR 1)
Tahun diisytiharkan: 1979
Tempoh matang: 135-143 hari

12. Sekencang (MR 7)
Tahun diisytiharkan: 1979
Tempoh matang: 120-125 hari

13. Sekembang (MR 10)
Tahun diisytiharkan: 1979
Tempoh matang: 140-146 hari

14. Kadaria (MR 27)
Tahun diisytiharkan: 1981
Tempoh matang: 125-132 hari

Padi MR 27, yang juga dikenali sebagai Kadaria mempunyai sifat-sifat morfologi yang serupa dengan Sekembang dan Seribu Gantang. Ia matang dalam tempoh 125-132 hari iaitu 14 hari lebih awal daripada Sekembang. Ia adalah sederhana tahan terhadp penyakit karah dan sesuai ditanam diberbagai keadaan tanah. Hasil yang diperolehi dari kawasan-kawasan pengurusan air yang baik ialah 600-700 gantang seekar (1,500-1,750 gantang sehektar). Ia menunjukkan daya pertumbuhan yang baik di kawasan padi tanah rendah yang mendapat bekalan air daripada hujan. MR 27 dikelaskan sebagai gred sederhana. Mutu nasinya adalah baik.

15. Pulut Siding (MR 47)
Tahun diisytiharkan: 1981
Tempoh matang: 135-143 hari

Padi pulut gred panjang, bentuk berasnya setanding dengan pulut Thailand dan mempunyai mutu masakan yang amat baik. Jumlah beras penuh (headrice) adalah lebih tinggi daripada Pulut Malaysia Satu. Pulut ini cepat matang iaitu dalam tempoh 135-143 hari. Ia boleh ditanam dua kali setahun di kebanyakan kawasan padi yang mendapat bekalan air yang sempurna. Hasil diperolehi lebih kurang 430-750 gantang seekar (1,075-1,975 gantang sehektar).

16. Manik (MR 52)
Tahun diisytiharkan: 1984
Tempoh matang: 140-145 hari

Varieti MR 52 ialah hasil dari kacukan (Radin Goi/Ria) 4 dan Tadukan yang mempunyai rintangan terhadap penyakit karah dan hawar daun dan toleransi terhadap penyakit merah. Varieti ini mendapat nama daripada kawasan Sungai Manik di Perak. Varieti ini sangat sesuai di kawasan tanah yang berair dalam seperti di Krian. Oleh itu tanaman secara semaian rakit dan redeh diamalkan. Bentuk batang pokoknya tinggi dan tegak tetapi tidak rebah seperti varieti Mat Candu. Padi ini juga mudah direlai. Hasil yang didapati di Krian ialah antara 3.8-4.4 tan metrik/ha. manakala varieti tempatan Mat Candu berhasil 3.2 tan metrik/ha. Gred berasnya ialah jenis panjang serta mempunyai mutu nasi yang baik. Kelemahan varieti ini ialah mutu mengilang yang kurang baik kerana peratus beras hancurnya yang agak tinggi.

17. Muda (MR 71)
Tahun diisytiharkan: 1984
Tempoh matang: 126-132 hari

Varieti ini adalah hasil dari kacukan RU 243-12-3 dan BRJ 51-26-11 yang rintang terhadap penyakit karah dan hawar daun. Ia juga toleran terhadap penyakit merah virus. Varieti ini mendapat nama daripada Skim Pengairan Sungai Muda, Kedah. Jangkamasa matangnya pendek di antara 125-133 hari. Oleh itu penanaman memerlukan semai muda di mana umur semai semasa mengubah kurang dari 25 hari. Sifat morfologi varieti ini sesuai bagi tanaman secara tabur terus kerana perdunya padat serta anak pokok yang tegak. Tinggi pokok ialah antara 80-85 cm. Daun pengasuhnya tegak dan tidak kering apabila padi masak. Di kawasan subur, daun dan tangkainya agak panjang dan berat yang menyebabkan pokok mudah rebah jika masak pada musim hujan. Hasil varieti MR71 stabil iaitu lebih kurang 5 tan metrik/ha. dari musim ke musim dan juga di antara kawasan-kawasan. Di Seberang Prai hasilnya ialah 4.8-5.6 tan metrik/ha. dan di luar kawasan MADA ialah 4.3-6 tan metrik/ha. Dalam ujian penyesuaian sambutan petani terhadap varieti ini adalah memuaskan kerana keadaan daun bersih dari penyakit dan juga lambat kering. Disamping itu gred berasnya panjang serta mutu menghilang dan mutu nasi lebih baik dari varieti Setanjung.

18. Seberang (MR 77)
Tahun diisytiharkan: 1984
Tempoh matang: 133-135 hari

Varieti ini adalah hasil kacukan RU 67009/Zenith dan IRON 171 yang mempunyai rintangan terhadap bena perang dan penyakit hawar daun. Ia juga toleran terhadap penyakit merah virus dan penyakit karah. Varieti ini mendapat nama daripada kawasan Seberang Perak. Kelemahannya ialah kerentanan terhadap penyakit hawar seludang. Pokoknya tegak dan tinggi diantara 80-85 cm. Tangkainya padat dan berbiji panjang.

19. Makmur (MR 73)
Tahun diisytiharkan: 1985
Tempoh matang: 130-140 hari

Padi Makmur adalah hasil kacukan jenis Setanjung dan jenis Pongsu Seribu. Ia mempunyai sifat-sifat lebih baik dibandingkan dengan padi Setanjung. Padi MR 73 tidak banyak berbeza dengan Setanjung terutama dari segi ketinggian pokok. Begitu juga dengan tempoh matang di mana ia mengambil masa lebih kurang 130 hari di musim utama dan 140 hari bagi penanaman luar musim. Ia mempunyai bilangan biji yang lebih lebat pada tangkainya, peratus hampanya rendah dan banyak biji bernas. Biji berasnya lebih panjang dibandingkan dengan Setanjung dan mutu nasinya juga lebih baik. Dari segi kerintangan terhadap perosak, padi Makmur didapati tahan kepada penyakit karah dan hawar daun serta toleran kepada penyakit merah daripada Setanjung. Ketahanannya kepada masalah-masalah lain seperti rebah, serangan bena perang hawar seludang, bertih dan reput batang adalah sama seperti Setanjung. Selain daripada cara mengubah, padi Makmur juga boleh ditanam secara tabur terus.


20. MR 84
Tahun diisytiharkan: 1986
Tempoh matang: 124-137 hari

Varieti MR 84 adalah hasil daripada program memperbaiki sifat-sifat titisan MR 50 (Radin Goi/R82)/Tetep) yang telah dikacuk dengan varieti CR 261-7039-236. Tinggi pokok adalah antara 95-105 cm, pokok tegak dan daun-daun tercacak ke atas serta mempunyai daun pengasuh yang pendek dan lebar sedikit. Ianya rintang terhadap penyakit karah dan sederhana rintang terhadap penyakit merah. Varieti ini boleh memberi hasil setanding dengan varieti-varieti lain disyorkan dan sesuai untuk petani. Varieti ini boleh mengeluarkan 13-17 tangkai seperdu, padi yang bernas antara 125-135 biji setangkai dan berat 1000 biji padi setinggi 26 gram. Dengan pengurusan yang rapi varieti ini berupaya mengeluarkan hasil lebih daripada 6.0 tan sehektar.

Biji padi berukuran 9.30 + 0.30 mm dan selepas pengilangan, panjang dan lebar kepala beras adalah masing-masing 6.60 + 0.25 mm dan 2.12 + 0.06 mm. Walaupun pada amnya panjang biji beras melebihi 6.2 mm ada kemungkinan antara 3-20% biji beras berukuran kurang daripada 6.2 mm yang disebabkan oleh tekanan faktor-faktor persekitaran dan proses pengilangan. Purata perolehan pengilangan adalah 68% yang terdiri daripada 71-95% kepala beras (berdasarkan beras) atau 50-60% padi (berdasarkan padi).

Pengendalian semasa penuaian dan lepas tuai umpamanya penuaian yang lewat dan pengeringan yang tidak terkawal boleh menjejaskan perolehan kepala beras. Daripada segi mutu nasi, varieti ini setanding dengan Muda dan lebih baik daripada Setanjung. Varieti ini mempunyai peratus kemandulan biji padi yang rendah, keseragaman tempoh matang yang memuaskan, tahan rebah dan lebih toleran terhadap keadaan tanah masam jika dibandingkan dengan varieti-varieti yang lain. Ianya rintang terhadap penyakit karah, jalur bakteria dan bintik perang; dan sederhana rintang terhadap penyakit merah dan bena perang. Ia lemah terhadap penyakit hawar daun. Persekitaran yang kurang stabil dapat mempengaruhi sifat-sifat fizikal biji beras.

MR 84 merupakan varieti terbaik yang pernah dihasilkan dan menjadi pilihan utama sehingga ditanam selama 17 musim meliputi 70% kawasan penanaman padi Malaysia.

[bersambung bahagian 2]

1 comment:

  1. hybrid rice is unhealthy compared to original heirloom rice
    hybrid rice, fruits, vege etc has unhealthy unbalanced nutrients - search Dr Sebi mucusless diet

    ReplyDelete

Popular Posts