Inbox Our Email: koperasi agrobelantik@gmail.com

Varieti-varieti padi di Malaysia (bahagian 2)

Sambungan daripada bahagian 1

21. MR 81
Tahun diisytiharkan: 1988
Tempoh matang: 132-137 hari

Padi MR 81 adalah hasil kacukan MR 24 dengan IR 36. Baka MR 24 dihasilkan dengan kacukan Seribu Gantang dengan Sri Malaysia 2 manakala IR 36 dihasilkan oleh IRRI. Padi ini adalah sebagai alternatif bagi kawasan yang kurang subur seperti di Kelantan dan Besut, Terengganu. MR 81 mempunyai kerintangan terhadap penyakit karah, bintik perang dan hawar daun dan sederhana tahan terhadap bena perang dan penyakit hawar seludang. Walau bagaimanapun, MR 81 tidak tahan kepada penyakit merah virus. Padi MR 81 mempunyai potensi hasil diantara 4.2-6.0 tan sehektar.

22. MR 103
Tahun diisytiharkan: 1990
Tempoh matang: 124-140 hari

Hasil kacukan antara titisan RM 1217-432 (MR 13/MR 16) dengan titisan RU 1378-24-4 dari kacukan Y180 / SM2. Mempunyai bentuk pokok yang tegak termasuk daun pengasuh. Daun-daunnya tidak terlalu besar dan banyak. Tinggi batangnya sama dengan MR 84 dalam lingkungan 80-85 cm. Bilangan tangkai seperdu sama dengan MR 84. Saiz tangkainya besar dan mempunyai hampir 140 biji setangkai berbanding dengan MR 84 sebanyak 130 biji. Peratus biji yang bernas ialah 80%. Keupayaan hasil adalah setanding dengan MR 84.

Berat 1000 biji MR 103 ialah 25-26 gm. Panjang besar ialah 6.8 + 0.25 mm dengan nisbah panjang : lebar 3.4. Berasnya jernih tetapi terdapat peratusan kecil yang berkapur sedikit di tengah. Peratus pengilangan adalah lebih baik dengan peratus perolehan mengilang sebanyak 70% dan lebih 85% daripadanya adalah kepala beras, tetapi ia sensitif sedikit apabila penuaian dilewatkan sehingga peringkat 100% masak. Oleh itu penuaian disyorkan dibuat pada peringkat 85-95% masak. Mempunyai kandungan amilos yang tinggi (30%), pepecahan alkali yang sederhana tinggi, tetapi gel sederhana lembut. Rasanya hampir sama dengan MR 84.

MR 103 rintang terhadap karah, sederhana rintang terhadap hawar bakteria dan sederhana rentan terhadap hawar seludang. Tolerensi terhadap PMV sama dengan MR 84. MR 103 tahan rebah dan sesuai dengan kaedah tabur terus. Kelemahan yang ketara ialah kepekaannya terhadap keadaan berlebihan nutrien ferum, ia akan kelihatan berkarat. Ia juga kurang beranak di kawasan air dalam.

23. MR 106
Tahun diisytiharkan: 1990
Tempoh matang: 125-140 hari

MR 106 adalah titisan daripada RU 2161-270. RU 2161 adalah kacukan antara MR 71 dengan IR 21912-131. Ia adalah satu titisan yang rendah (72 cm) iaitu 10 cm lebih rendah daripada MR 84. Ia mempunyai sifat pokok yang tegak, beranak banyak, padat dan tegak, dan semua daun tegak termasuk daun pengasuhnya. Tangkai-tangkainya padat, dan mempunyai 140 biji yang hampir 80% adalah bernas. Tangkai akan menjadi kecil dengan kaedah tabur terus terutamanya apabila menggunakan kadar benih yang tinggi. Ianya lebih sesuai di tanah subur. Di kawasan kurang subur, pokok akan menjadi terlalu rendah dan tangkai terlalu kecil. Dengan kaedah tabur terus, pembajaan mestilah cukup.

Beras MR 106 berukuran 6.65 + 0.40 mm dan nisbah panjang: lebar ialah 4.1. Berasnya jernih sungguhpun peratusan kecil yang berkapor sedikit di tengah. Berat 1000 biji padi ialah 21 gm. Perolehan mengilang adalah sebanyak 68% dan potensi kepala beras adalah melebih 85%. Kandungan amilosnya 29-30% dengan pepecahan alkali yang rendah tetapi gelnya sederhana keras. Ini menjadikan nasi MR 106 sederhana keras hampir sama dengan MR 84.

Oleh kerana pokok rendah, varieti ini tahan terhadap rebah dan sangat sesuai dengan kaedah tabur terus. Ia juga rintang terhadap karah, bena perang, sederhana rintang terhadap hawar bakteria dan sederhana rentan terhadap hawar seludang. Toleransi terhadap penyakit merah sama dengan MR 84, tetapi kehilangan hasil akibat serangan penyakit merah adalah kurang daripada MR 84 dan rentan terhadap penyakit bintik perang kecil. Ia juga peka kepada kekurangan nutrien K (kalium) dan di tanah yang kurang subur atau kekurangan K, serangan penyakit bintik perang kecil banyak berlaku. Disyorkan untuk kawasan penuaian dengan tangan dan juga tanah masam dan masin.

24. Pulut Hitam 9
Tahun diisytiharkan: 1990
Tempoh matang: 132-136 hari

Hasil daripada kacukan MR 33 (Pulut Putih) dengan Pulut Hitam Siam. MR 33 mempunyai tempoh matang sederhana, pokok rendah dan hasil tinggi. Pulut Hitam Siam pula mempunyai tempoh matang yang panjang, pokok tinggi dan hasil rendah. PH 9 ialah satu titisan matang awal (132-137 hari selepas menabur mengikut musim), pokok rendah (68-76 cm) dan tidak mudah rebah. Oleh sebab itu PH 9 berupaya menerima pembajaan yang sederhana tinggi dan dapat menghasilkan 4.0-4.7 tan/hektar.

PH 9 setanding dengan varieti-varieti pulut hitam tradisional yang lain dan sangat sesuai untuk dibuat bubur. Perolehan pengilang adalah baik sehingga 80% kerana tidak perlu dikilat tetapi hanya dikupas kulit. Cara ini juga tidak menyebabkan masalah beras hancur yang berlaku semasa beras dikilat. Berasnya berukuran 6.0-6.5 mm. Boleh ditanam pada kedua-dua musim dan tidak rebah. Hasilnya tinggi berbanding dengan jenis pulut hitam tradisional dan mutu pulutnya baik.

PH 9 rentan terhadap penyakit hawa seludang. Semua jenis pulut, terutama pulut hitam mempunyai kadar kacukan semula jadi yang lebih tinggi daripada varieti biasa, maka dalam pembiakan benih ianya memerlukan lebih perhatian kerana kacukan dengan varieti lain daripada pulut hitam akan menyebabkan beras bercampur putih dengan hitam dan juga pulut dengan bukan pulut. Seelok-eloknya asingkan pembiakan sama ada secara jarak masa atau tempat.

25. MR 123
Tahun diisytiharkan: 1991
Tempoh matang: 114-120 hari

26. MR 127
Tahun diisytiharkan: 1991
Tempoh matang: 120-128 hari

Hasil daripada kacukan antara MR 1 / MR 7 dan Y 441 / MR 71. Varieti MR 127 mempunyai tempoh matang yang singkat, dan sesuai untuk penanaman pada secara tabur terus (115 hari melalui sistem tabur terus) dan 128 hari dengan penanaman secara cedung. MR 127 dikeluarkan khusus bagi penanaman padi Luar Musim yang memerlukan jangka masa yang singkat untuk mengelakkan daripada banjir dan kemarau. Sifatnya yang kurang beranak bebanding varieti MR 84 akan membantu mengurangkan suasa persaingan yang wujud di peringkat tumbesaran dalam sistem tabur terus. Varieti ini menjadi popular di kalangan petani yang sentiasa mengamalkan penanaman yang lewat atau masalah lewat menanam terutamanya bagi penanaman Luar Musim di Besut. Melalui amalan kultura yang betul dan menepati masa yang dikehendaki maka MR 127 mampu memberikan hasil yang tinggi sekurang-kurangnya 5.5 tan sehektar.

27. MR 159
Tahun diisytiharkan: 1995
Tempoh matang: 124-139 hari

Kacukan antara baka Y 833 dan baka IR 5491. Baka Y 833 adalah baka berhasil tinggi tetapi rentan terhadap lelompat daun hijau dan benah perang. Manakala baka IR 5491 adalah varieti dari IRRI yang sangat rintang terhadap vektor virus penyakit merah. Umur matang varieti ini adalah sekitar 124 hingga 139 hari iaitu sama dengan varieti MR 84. Perbezaan umur matang ini bergantung pada musim dan kaedah penanaman. Penanaman secara tabur terus pada musim utama akan menghasilkan tanaman yang matang (85% masak) sekitar 125 hari. Sementara itu, penanaman secara mencedung pada Luar Musim akan meningkatkan umur matang sehingga ke sekitar 139 hari .

Varieti ini mempunyai ketinggian batang antara 75-92 cm. Ketinggian ini bergantung pada musim penanaman, kaedah penanaman dan kesuburan tanah. Batang pokok akan menjadi tinggi apabila ditanam di kawasan yang subur secara mencedung dan pada musim luar. Varieti ini rintang terhadap karah, hawar bakteria dan penyakit merah. Bagaimanapun ia rentan terhadap hawar seludang dan benah perang. Kerintangan terhadap penyakit merah berbentuk kerintangan terhadap vektor lelompat daun hijau. Pengggunaan varieti ini perlu ditumpukan ke kawasan-kawasan yang mudah diserang oleh penyakit merah. Pengawalan dengan menggunakan racun kimia atau secara amalan kultur perlu diberi perhatian terutama di kawasan-kawasan yang sering diserang oleh penyakit dan musuh ini. Varieti MR 159 mempunyai biji beras yang jauh lebih panjang (6.75 + 0.31 mm) daripada MR 84 dengan perolehan pengilangan di sekitar 80.6%. Bagaimanapun citarasa nasi varieti ini dikategorikan sebagai sederhana sedap sama seperti MR 84.

28. MR 167
Tahun diisytiharkan: 1995
Tempoh matang: 121-132 hari

Kacukan antara baka Y 978 dan baka PTB 18 dilakukan pada musim utama, dan pada musim luar (1986) baka F nya dikacukkan dengan vareiti Muda MR 71. Objektif kacukan adalah untuk mengurangkan ketinggian dan memperkukuh batang varieti Muda. Pemilihan dan penulenan dijalankan selama tujuh musim sebelum dimasukkan ke dalam set Percubaan Hasil (Y 1138) dan Percubaan Penyesuaian (MR 167).

Umur matang awal sedikit (sekitar 121-132 hari) daripada MR 84, bergantung pada musim dan kaedah penanaman. Tanaman akan matang sekitar 121-125 hari apabila ditanam pada musim utama dan secara tabur terus. Manakala umur matang akan meningkat sekitar 125-132 hari jika ditanam secara cedungan pada musim luar. Pokok varieti ini rendah sedikit daripada MR 84 dengan ketinggian batang sekitar 79-80 cm. Pokok akan menjadi tinggi apabila ditanam pada musim luar dan di kawasan-kawasan yang subur. Apabila ditanam di persekitaran yang subur, daun pengasuhnya menjadi lebih panjang dan lebar. Di dalam keadaan terlalu subur daun akan pecah di bahagian urat tengah dan persekitaran mikro yang wujud akan memudahkan varieti ini dijangkiti penyakit hawar seludang atau hawar daun bakteria. Varieti ini hanya rintang terhadap penyakit karah. Untuk hawar daun bakteria dan hawar seludang ia hanyalah sederhana rentan. Ia juga rentan terhadap serangan benah perang dan penyakit merah virus.

Panjang berat varieti MR 167 ialah 6.51 + 20 mm iaitu panjang sedikit daripada MR 84. Perolehan pengilangan adalah sekitar 70.1% dan peratus perolehan kepala beras adalah tinggi sekitar 89.8%. Citarasa nasi adalah sama dengan MR 84 iaitu sederhana sedap.

Sumber: MARDI (1995)

MR 159 dan MR 167 dilancarkan serentak oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 19 Januari 1995 di PPK Tenaga Baru (HII) MADA Kepala Batas, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

29. MR 185
Tahun diisytiharkan: 1997
Tempoh matang: 112-119 hari

Baka MR 185 dihasilkan daripada kacukan antara baka Y 1056 dan MR 133. Kacukan ini bertujuan mengurangkan lebar daun MR 133 dan juga meningkatkan bilangan spikeletnya. Kacukan dijalankan pada tahun 1990. Dalam sistem tanaman tabur terus, varieti MR 185 matang lebih kurang 112 hari lepas tabur pada musim utama dan 119 hari pada luar musim. Bilangan biji pada 97-186 biji setangkai dengan purata 140 biji setangkai. Mutu pengilangan beras dan mutu nasi MR 185 hampir sama dengan mutu MR 84. Beras MR 185 sepanjang 6.45 + 0.29 mm. Berasnya lebih tirus daripada beras MR 84 dengan nisbah panjang/lebar 2.2. Potensi hasil MR 185 tinggi dan mudah dicapai. MR 185 rintang terhadap penyakit karah dan sederhana rintang terhadap hawar daun bakteria, tetapi sederhana rentan terhadap benah perang dan penyakit merah. Baka ini mudah diserang oleh penyakit bintik perang apabila kandungan kalium dalam tanah rendah.

30. MR 211
Tahun diisytiharkan: 1999
Tempoh matang: 99-100 hari

Padi MR 211 adalah varieti padi yang paling pendek tempoh matangnya berbanding varieti padi yang lain. MR211 adalah kacukan baka biasa MR84 dengan padi jenis Hoshiyutaka dari Jepun yang responsif terhadap pembajaan. Padi ini menjadi pilihan untuk ditanam kerana tempohnya yang singkat. MR 211 mempunyai potensi hasil yang tinggi mencecah 9.6 tan sehektar.

31. MRQ 50
Tahun diisytiharkan: 1999
Tempoh matang: 123 hari

Padi MRQ50 merupakan kacukan baka padi MRQ 34 dengan padi Khaw Dawk Mali jenis wangi dari Thailand. Potensi hasilnya ialah 3-4 tan sehektar.

Padi MR 211 dan MRQ 50 diisytiharkan serentak pada 29 September 1999 oleh Menteri Pertanian, Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud di Wisma Tani, Kuala Lumpur


[bersambung bahagian 3]

2 comments:

Popular Posts