Inbox Our Email: koperasi agrobelantik@gmail.com

Ladang organik mampu menampung lebih banyak spesis tanaman, serangga dan haiwan

Secara purata, ladang organik menyokong 34 peratus lebih spesis tumbuhan, serangga dan haiwan daripada ladang konvensional, kata para saintis dari Universiti Oxford. Penyelidik melihat data sejak 30 tahun dan mendapati bahawa kesan ini kekal stabil dari masa ke masa dan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan.

"Kajian kami telah menunjukkan bahawa pertanian organik, sebagai alternatif kepada pertanian konvensional, boleh menghasilkan manfaat jangka panjang yang penting bagi biodiversiti," kata Sean Tuck penulis utama kajian dari Jabatan Sains Tanaman, Universiti Oxford. "Kaedah organik dapat memberikan beberapa cara bagi membendung kerugian akibat kehilangan diversiti di negara-negara maju."

Untuk pendebunga seperti lebah, bilangan spesis yang berbeza adalah 50 peratus lebih tinggi di ladang organik, walaupun ia adalah penting untuk diambil perhatian bahawa kajian ini hanya melihat kepada "kekayaan spesis."

"Kekayaan memberitahu kita berapa banyak spesis yang berbeza didapati, tetapi tidak menyatakan apa-apa mengenai jumlah organisma," kata Encik Tuck. "Terdapat banyak cara yang mudah untuk kajian biodiversiti dan kekayaan spesis diukur, menyediakan titik permulaan yang berguna. Secara umum, spesis yang tinggi kekayaannya biasanya menunjukkan pelbagai spesis dengan fungsi yang berbeza. Dengan mengambil contoh lebah, kekayaan spesis akan memberitahu kita berapa banyak jenis spesis lebah berada di setiap ladang tetapi bukannya jumlah lebah."

Kajian itu, diterbitkan minggu ini dalam Jurnal Ekologi Gunaan, melihat data daripada 94 kajian lepas yang meliputi 184 tapak ladang sejak tahun 1989. Para penyelidik menganalisis semula data menggunakan imej satelit untuk menganggarkan penggunaan tanah di landskap sekitarnya bagi setiap tapak ladang untuk melihat sama ada ia memberi kesan kepada kekayaan spesis. Kajian ini telah dijalankan oleh ahli-ahli sains di Universiti Oxford dan Swedish University of Agricultural Sciences, dan sebahagiannya dibiayai oleh Natural Environment Research Council (NERC).

Ladang organik mempunyai kesan yang lebih besar pada kekayaan spesis apabila tanah di sekeliling mereka diusahakan secara lebih intensif, terutamanya apabila ia mengandungi tanaman di tanah pertanian yang besar. Tanah pertanian ditakrifkan sebagai tanah yang diduduki oleh tanaman yang disemai dan dituai pada tahun pertanian yang sama seperti gandum, padi atau barli.

"Kami mendapati bahawa kesan ladang organik kepada kekayaan spesis yang lebih ketara apabila ia terletak di kawasan-kawasan yang ditanam secara intensif," kata Dr Lindsay Turnbull dari Jabatan Sains Tanaman Universiti Oxford, yang merupakan pengarang kanan kajian. "Ini masuk akal kerana manfaat biodiversiti setiap ladang organik akan dicairkan dalam kelompok ladang organik berbanding dengan "pulau" organik yang menyediakan habitat yang kaya di tengah lautan racun perosak dalam ladang konvensional. Kesan (pulau) ini menjadikan (agen) pendebunga lemah, mungkin kerana pendebunga pergi ke ladang jiran dan boleh dijejaskan oleh racun perosak di sana."

Kesan pertanian organik pada jumlah kekayaan spesis pelbagai menunjukkan angka yang ketara dari semua data, dengan purata yang berbeza-beza kekayaan spesis diantara 26 peratus dan 43 peratus. Jumlah ini berbeza mengikut faktor yang berkaitan dengan pelbagai variasi dalam amalan pertanian dan takrif "organik" yang digunapakai.

Sesetengah ladang konvensional mengaplikasikan semburan racun perosak dan baja kimia secara intensif sedangkan yang lain (ladang organik) akan menggunakan kaedah campuran putaran tanaman dan penggunaan baja organik dengan racun perosak kimia yang minimum," kata Dr Turnbull. "Terdapat juga perbezaan serantau dalam amalan pertanian, dan majoriti data dalam kajian kami berada di negara-negara maju yang mempunyai sejarah pertanian panjang seperti di Eropah Barat. Di sana, beberapa hidupan liar telah hidup dan berkembang di tanah ladang yang diuruskan secara meluas tetapi diancam oleh pertanian yang intensif.

Walau bagaimanapun, di negara-negara membangun, sering terdapat tekanan yang besar ke atas tanah untuk memberikan makanan yang mencukupi bagi penduduk tempatan, menyebabkan penukaran habitat semulajadi kepada tanah ladang. Dalam beberapa kes, manfaat pertanian organik kelihatan kurang jelas, kerana ia mungkin memerlukan lebih banyak tanah untuk mencapai hasil yang sama seperti pertanian konvensional.

"Lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai kesan pertanian organik di kawasan tropika dan subtropika. Sebagai contoh, tidak ada kajian berkenaan pisang atau koko organik, dua daripada produk organik yang paling popular yang terdapat di pasaraya Eropah. Pada masa ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada membeli pisang atau coklat organik mempunyai apa-apa faedah kepada alam sekitar."

Sumber: Sean L. Tuck, Camilla Winqvist, Flávia Mota, Johan Ahnström, Lindsay A. Turnbull, Janne Bengtsson. Land-use intensity and the effects of organic farming on biodiversity: a hierarchical meta-analysis. Journal of Applied Ecology, 2013; DOI: 10.1111/1365-2664.12219

0 comments:

Popular Posts