Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM College of Business berjaya mempromosi kaedah alternatif penanaman padi yang dapat meningkatkan lagi penggunaan tanah terbiar dan hasil padi secara bersama dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Koperasi Agro Belantik Sdn. Bhd. untuk masyarakat daerah Sik khususnya dan masyarakat luar bandar di negara ini amnya.
Kajian dan projek yang dijalankan bersama di Kampung Lintang di Sik atau lebih dikenali dengan Projek Sri Lovely (Lintang Organic Valley) ini ketuai oleh Dr. Kamal Ab Hamid bersama Dr. Siti Norezam Othman, Dr. Noorulsadiqin Azbiya Yaacob, Zakirah Othman, Dr. Norani Nordin dan Prof. Madya Dr. Shahimi Mohtar sebagai Penasihat Special Interest Group (SIG).
Melalui projek ini teknik Sri Lovely telah dipromosikan agar dapat dikembangkan penggunaannya di kawasan-kawasan luar bandar.
Teknik ini telah diadaptasi dan diinovasikan daripada teknik System Of Rice Intensification (SRI) yang telah berjaya meningkatkan hasil padi sebanyak dua kali ganda dan mencecah hingga lapan tan berbanding dengan enam tan sebelum ini.
"Melalui teknik yang digunakan ini penghasilan padi untuk dituai dapat dipercepatkan sekurang-kurangnya sepuluh hari lebih awal dari kebiasaannya", ujar beliau ketika ditemui di tapak Projek Sri Lovely baru-baru ini.
Beliau menambah kolaborasi yang dijalankan dengan pihak KEDA dan Koperasi Agro Belantik Sdn Bhd ini juga telah berjaya memberi pengiktirafan dengan memenangi Pingat Emas di peringkat antarabangsa dalam bidang penyelidikan bertajuk Inovasi Dalam Pengurusan Teknologi Hijau: Kajian Kes Lintang Organic Valley (Ladang Lovely) pada bulan Mei lalu di Kuala Lumpur sempena pertandingan rekacipta, International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) ke 23.
"Kami mendapat kerjasama dari KEDA bagi mengatur program pembangunan modal insan dengan menggalakkan petani menyertai kursus, seminar dan lawatan manakala Koperasi Agro Belantik pula bertanggungjawab untuk mengusahakan tanah terbiar di kawasan Sik", ujarnya.
Sementara itu Pengurus Perancangan dan Penyelarasan KEDA Marzuki Md Zin ketika ditemui berkata, kolaborasi dengan UUM ini dilihat dapat mempertingkatkan ekonomi di kawasan luar bandar di samping menarik minat golongan petani dan belia untuk menyertai dan mengusahakan bidang pertanian.
Katanya Projek Sri Lovely yang dijalankan ini telah menunjukkan peningkatan hasil padi dengan kaedah yang diketengahkan iaitu penggunaan satu biji benih padi yang ditanam cetek, jarak tanaman, anak semaian muda, pengawalan air, proses mengembur anak padi pada usia 10, 20, 30, 40 hari dan pengunaan baja organik yang dihasilkan daripada siput gondang, umbi pisang, rebung, rumput dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pencapaian penyelidik dari STML ini menunjukkan Universiti Pengurusan ini juga memainkan peranan penting dalam bidang pertanian.
"Saya yakin dengan pencapaian ini menunjukkan mutu pencapaian akademik di UUM ini telah meningkat dari segi kualiti dan kuantiti seterusnya telah bersedia untuk bersaing dengan penyelidikan dari universiti lain dan bergerak untuk mencapai status universiti penyelidikan", ujar beliau lagi.
Menyentuh mengenai kejayaan penyelidik dari universiti pengurusan yang memenangi anugerah daripada kajian kes mengenai pertanian ini beliau berkata, dalam pertanian juga memerlukan beberapa aspek seperti pengiraan kos, keseimbangan dan yang berkaitan maka dengan kelebihan yang terdapat dalam aspek kepengurusan ini memberi peluang kepada penyelidik untuk menyiapkan seterusnya mengaplikasikan hasilnya kepada masyarakat dan negara.
Manakala Dekan STML, Prof. Madya Dr. Zukifli Mohamed Udin yang ditemui berkata, kejayaan yang dicapai sejak penubuhannya Julai 2011 menunjukkan kumpulan penyelidik dari pusat ini juga telah bersedia untuk bersama-sama penyelidik lain untuk menghasilkan penyelidikan mereka seterusnya mengkomersilkan produk yang dihasilkan kepada masyarakat dan negara ini.
"Pemuafakatan dan jalinan kerjasama dengan agensi luar dan tenaga akademik di kampus ini dengan sokongan pihak pengurusan universiti pastinya akan melahirkan lebih ramai lagi kumpulan penyelidik bukan sahaja untuk membantu mengkomersialkannya malah akan berusaha untuk memperolehi lebih banyak pengiktirafan baik diperingkat kebangsaan ataupun antarabangsa", ujarnya.
Turut hadir ke lawatan projek SRI ialah Ketua Jabatan STML Dr Nor Hasni Osman dan Nik Mohd Baid Zani Haddad Ibrahim dari Research and Innovation Management Centre (RIMC).
Sumber.
1 comments: